http://www.seanggunbidadari.com/2008/11/my-doctor-prof-dr-muhaya-muhamad.html
Istimewa mengenai Prof Muhaya, beliau amat menitikberatkan aspek agama yang mana selalu mengingatkan pekerjanya supaya tidak meninggalkan solat lima waktu, malah itulah kriteria utama sekiranya ingin bekerja dengannya. Bagi dirinya, sama ada anda seorang pekerja atau majikan, sekiranya amanah Allah tidak dilakukan dengan jujur dan amanah, bagaimana pula dengan amanah kepada diri sendiri, majikan atau bagaimana apabila bergelar bos?
"Orang yang tidak meninggalkan solat dan selalu meminta pertolongan daripada Allah nyata banyak kemudahannya. Saya pernah berhadapan dengan pesakit muda yang selesai menjalani rawatan, mengikut kaedah biasa mampu sembuh dalam seminggu, tetapi pesakit itu tidak sembuh juga walaupun sudah masuk hari ke-10. Saya terus bertanya, adakah anda mengerjakan solat? Dan seperti dijangka jawapannya tidak.
"Begitu juga sekiranya saya melakukan pembedahan terhadap orang yang banyak beramal kepada Allah, kerja pembedahan bagaikan 'dibantu' apabila ia berjalan dengan pantas dan tanpa sebarang masalah. Begitulah besarnya nikmat sekiranya kita beramal ibadat. Saya percaya, kalau kita selalu menolong orang, Allah juga akan sentiasa membantu kita," katanya.
Tidak sia-siakan masa
KEBIJAKSANAAN Prof Muhaya dalam menyampaikan ceramah dan peringatan banyak dipengaruhi oleh ilmu. Katanya, perjalanan dari rumah ke pejabat yang mengambil masa selama satu jam dipenuhi dengan mendengar CD ceramah agama dan maklumat itu dikongsi bersama pekerja dan pesakitnya.
Begitu juga ketika waktu rehat tengah hari umpamanya, beliau akan pastikan diri mendengar input ilmiah termasuk motivasi dan sebagainya, kerana beliau tidak mahu membiarkan masanya terbuang begitu saja tanpa mendapat pengisian.
Nyata amalannya itu diperoleh daripada didikan arwah bapanya yang percaya manusia akan menjadi insan terpuji menerusi ilmu yang dipelajarinya.
"Percaya atau tidak sejak berusia lapan tahun lagi, arwah bapa saya sudah memanggil guru tuisyen mengajar kami adik-beradik subjek matematik dan bahasa Inggeris membuktikan beliau sudah melihat kebaikan ilmu. Bayaran dikenakan ialah RM15 sebulan untuk saya dan kakak yang ketika itu belajar dalam darjah enam. Jumlah yang agak besar pada 1966, tetapi ayah saya tidak peduli.
No comments:
Post a Comment