Tuesday, 4 June 2013

Rezeki dan pahala_Usahawan Muslim

REZEKI DAN PAHALA 4 Rejab 1434 (http://www.muhdkamil.org/pensyarah_tamu/zaini_ariff) Berniaga itu sunnah Rasulullah SAW. Malah perniagaan merupakan sumber rezeki terbesar di dunia dan akhirat. Usahawan dunia dan akhirat melihat ia dalam bentuk rezeki (dunia) dan pahala (akhirat). Kedua-dua bentuk perniagaan sepatutnya mempunyai pertalian yang sangat rapat. Namun perniagaan yang tidak pernah rugi dinyatakan oleh Allah SWT melalui ayat 10-13, surah as-Saff yang bermaksud, Hai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepada mu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab pedih. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mu. Itulah yang terlebih baik bagi mu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah mengampuni dosa mu dan memasukkan kamu kedalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga Aden. Itulah kemenangan yang agong. Dan (ada lagi) kurnia lain yang kamu cintai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang orang Mukmin. Saya mencari rezeki melalui perniagaan. Namun saya sentiasa berdoa agar rezeki ini mencakupi rezeki dunia dan akhirat. Melalui rezeki inilah – saya mahu – meneruskan kehidupan dunia dan akhirnya membawa saya, keluarga, sanak-saudara, sahabat handai dan kaum muslimin-muslimat kepada kehidupan kekal abadi. Rezeki inilah yang membolehkan saya membuat sedekah, amal-jariah, mencari ilmu dan seterus mengajar anak-anak agar mereka menjadi anak soleh dan solehah. Jika di izin Allah, mereka mengamal ilmu ini dan jadilah ia ilmu yang bermanfaat. Akhirnya, saya berdoa mereka turut berdoa supaya ibu dan bapa mereka dilindungi dan dirahmati Allah SWT. Hukum perniagaan sangat mudah. Jika sesiapa yang mahu menjadikan bidang ini sebagai kerjaya maka saya menasihati mereka yang berminat agar menjadi usahawan muslim, beriman, berilmu dan beramal soleh. Ia kenyataan dipermudahkan. Namun – pengalaman berpuluh tahun berniaga – saya terasa dan dapat merasai betapa keuntungan yang halal lagi diberkati Allah SWT membawa kehidupan makmur di dunia dan kehidupan bahagia di akhirat. Usahawan muslim mempunyai matlamat mudah. Kita tentu sekali mahu memiliki kekayaan dan kemewahan yang diredhai Allah. Mudah-mudahan ia diperolehi bukan dengan jalan berhutang agar hati yang kita miliki akan sentiasa aman dan tenteram. Maaf, ini adalah pandangan peribadi yang saya fikir sangat benar untuk diri sendiri. Lalu setiap usahawan mestilah memulakan perniagaan dengan niat bersih – semata-mata kerana Allah – yang boleh mendorong untuk melakukan perniagaan bersih di sisi Allah. Hasilnya, perniagaan kita mendapat barakah. Selalunya ia bukan datang dalam bentuk tangible seratus peratus. Mereka yang bergantung dan bersandar seratus peratus kepada kekuasaan Allah akan menikmati perasaan ketenangan dan kedamaian di hati. Saya sering berdoa, Ya Allah kami berniat untuk berniaga dengan ikhlas hanya keranaMu, semoga mendapat barakah. Saya percaya begitu. Ia selari dengan ayat 162-163, surah Al-An'am yang memberi kesimpulan kehidupan dan kegiatan sebagai seorang hamba Allah. Ayat ini bermaksud, Katakan, sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri kepada Allah. Prinsip utama usahawan muslim beriman adalah dengan mempercayai sepenuhnya bahawa segala urusan rezeki termasuklah kegiatan perniagaan – samada untung atau rugi – adalah semata-mata urusan Allah SWT. Kita berusaha dan bertawwakal. Namu jika usahawan meraih keuntungan besar hendaklah sentiasa bersyukur dan mengingati betapa Allah SWTlah yang mengaugerahkan rezeki tersebut. Keuntungan biasa atau uar biasa merupakan ujian Allah kepada hambaNya. Bagaimana pula jika perniagaan itu rugi? Ia juga merupakan satu ujian. Namun ia ujian mudah rasa dan nampak. Ia sangat terasa dan mudah menyebabkan usahawan hilang semangat sehinggakan ada menyalahkan takdir. Hujungnya, ada yang mengambil tindakan nekad sehingga mencabut nyawa sendiri. Allahu Akbar, kami mohon keampunanMu ya Allah. Ujian ini perlu dilalui dengan sabar dan solat. Mereka yang sentiasa mengingati Allah menganggap ia sebahagian daripada pelajaran yang perlu dilalui. Malah mereka menginsafi betapa hanya Allah SWT Maha Mengetahui dalam menentukan segala perbuatan baik kita di dalam menjalankan perniagaan. Mengikut aturannya, Allah yang Maha Pemurah akan tetap memberi pahala atas usaha kita meskipun bukan dalam bentuk keuntungan perniagaan. Usahawan muslim hanya percaya Allah Taala sebagai pemberi rezeki. Ayat 132, surah Taha menyatakan, Kami tidak meminta rezeki kepadamu (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa. Begitulah. Ada yang menyalahkan qada dan qadar tanpa mahu berusaha dan berdoa secukupnya. Benar kehidupan ini telah diketahui jalan ceritanya. Namun itu milik Allah semata-mata. Ia begitu kerana Allah Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. Hakikatnya, usahawan muslim sentiasa berusaha dan berdoa kepada Allah SWT agar permintaan kita dimakbulkan. Misalnya, hampir setiap hari saya berdoa, Ya Allah, jadikanlah perniagaan ku sebagai perniagaan yang menguntungkan dan tidak perniagaan yang merugikan. Ya Allah, jauhilah daku daripada mereka yang suka menipu. Janganlah aku ditipu ya Allah. Saya berada di dalam lingkungan kegiatan perniagaan dan mempunyai ramai rakan dan kenalan. Namun saya lebih teruja untuk bercerita bagaimana kebanyakan usahawan yang saya kenali sering menunaikan umrah sebagai tanda kesyukuran di atas kejayaan perniagaan mereka. Ia bukan lagi satu kepelikan melihat ada usahawan yang hanya berniaga 11 bulan dalam setahun. Baki sebulan mereka beribadah di Mekah dan Madinah. Ramai di antara mereka melaksanakan ibadah umrah pada 10 hari yang terakhir bulan Ramadhan memburu malam Lailatulqadar walaupun pada ketika itu hotel-hotel di Mekah berganda-ganda mahalnya. Namun mereka tidak lokek wang ringgit (rezeki) yang telah mereka perolehi melalui perniagaan yang telah diusahakan bagi meluangkan masa berharga pada bulan istimewa di lokasi yang sangat diberkati Allah SWT. Benar, bila pulang ke Malaysia mereka masih meneruskan amalan-amalan baik yang mendekatkan diri kepadaNya. Itulah salah-satu sifat usahawan muslim yang mungkin boleh diamalkan. Mahu atau tidak, usahawan wajib mempunyai ilmu perniagaan terutamanya yang berlandaskan syariat Islam. Mereka perlu mahir, berpengetahuan dan berkemahiran dalam urusniaga sesuatu barangan ataupun perkhidmatan. Ilmu perniagaan ini boleh dimiliki melalui pembelajaran secara formal ataupun melalui pengalaman kerja dengan majikan. Mungkin bertahun-tahun makan gaji tetapi sentiasa berniat – akhirnya – memberi gaji. Secara peribadi, kemahiran mengenai sistem pengurusan, kewangan dan pemasaran secara praktikal merupakan aset berharga kepada usahawan yang ingin berjaya. Ia soal ilmu dan ilmu. Usahawan yang mempunyai pengetahuan bagaimana untuk mencari pembekal yang baik, mempunyai pengurusan yang cekap dan berkesan, perletakkan harga yang kompetitif, strategi dan tektik berurusniaga, rakan kongsi yang amanah dan yang paling penting pandai menguruskan aliran wang tunai pastinya mempunyai kelebihan besar berbanding dengan rakan niaga lain. Bagaimana kita bermula namun akhirnya pengetahuan mengenai hukum halal dan haram di dalam sesuatu perniagaan akan membawa usahawan muslim kembali kepadaNya. Solat, bertaubat dan sentiasa mengingai saat kematian boleh menyebabkan usahawan Muslim kembali kepadaNya. Kini, kesedaran betapa kegiatan perniagaan mestilah bersih dari sebarang penipuan, riba dan rasuah mula menghampir hati usahawan muslim. Beberapa ayat di dalam al-Quran secara jelas menyatakan, Wahai orang-orang yang beriman tinggalkanlah saki baki daripada amalan riba jika kamu benar-bernar beriman (al-Baqarah: 278). Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu makan (atau ambil) harta orang lain secara batil (tidak sah) melainkan melalui perniagaan yang dilakukan secara redha – meredhai antara kami (an-Nisa: 29). Dan cukupkanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil (al-An’Am: 152). Usahawan juga mestilah sentiasa berwaspada dalam setiap urusan yang hendak dilakukan agar tidak tertipu dengan pelanggan ataupun rakan kongsi. Berdampinglah dengan usahawan yang telah berjaya bagi menimba ilmu. Usahawan juga mestilah beramal soleh dalam menjalankan perniagaan hariannya. Setiap urusniaga mestilah berteraskan kepada kejujuran. Malah setiap urusniaga yang dijalankan mestilah ada akad jual beli. Natijahnya, perjanjian ini perlu dipatuhi. Firman Allah SWT melalui surah al-Maidah, ayat 1 yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman tunaikan perjanjian-perjanjian yang telah dipersetujui. Kesemua catatan di atas merupakan rukun asas perniagaan berteraskan pengalaman peribadi. Jika ditanya soalan yang lebih praktikal, saya akan menyarankan supaya setiap individu yang mahu bergelar usahawan bermula dengan melakukan kesemua urusniaga iaitu dari membeli barang untuk dijual, mencari pelanggan, berurusan dengan pelanggan dan penjualan barangan atau perkhidmatan kepada pembeli. Mereka perlu sentiasa mengambil tahu setiap aspek urusniaga yang dijalankan. Ramai orang secara spesifik mengajar usahawan muslim agar mengamalkan membaca ayat seribu dinar (surah at-Talaaq, ayat 2-3) atau melakukan amalan solat sunat dhuha sebagai amalan harian bagi memudahkan rezeki. Saya tidak fikir begitu. Kita melakukan amalan-amalan ini semata-mata kerana kita mahu menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Namun saya mengesyorkan agar kita memahami maksud ayat seribu dinar atau doa selepas solat dhuha yang diamalkan oleh alim ulamak yang terdahulu. Sebagai misalan, ayat seribu dinar mengajar kita berdoa dan meminta jalan keluar bagi setiap masalah dalam dunia perniagaan. Malah kita memohon kepadaNya agar rezeki melimpah-limpah datang tanpa disangka-sangka. Allahu Akbar, ia sepatutnya membawa kita semakin hampir kepadaNya. Jangan pula ayat ini dijadikan tangkal azimat yang boleh membawa kepada usnsur-unsur syirik dan membawa kita ke lembah kekufuran. Semoga kita diampun Allah. Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW adalah model usahawan atau peniaga paling berjaya. Kejayaan baginda – di antaranya – disebabkan integriti Baginda SAW. Beliau seorang insan jujur dan amanah. Malahan Nabi Muhammad SAW ada memberi jaminan betapa usahawan yang jujur dan amanah akan ditempatkan bersama para nabi, siddiqin dan syuhada di jannah nanti, In sya Allah. Allah ya Allah, perniagaan atau menjadi usahawan merupakan kegiatan mengikut sunnah dan memberi rezeki di dunia dan akhirat jika ia dilaksanakan mengikut aturanNya. Ya Allah, ampunilah kami ya Allah. Berikanlah kami rezeki yang halal agar bila kami mengadapMu tidak pula dipersoalkan sehingga kami terlewat melangkah ke syurgaMu.

No comments:

Post a Comment