Wednesday 13 March 2013

Ukhuwah

Maksud ukhuwah menurut imam Hasan al-Banna ialah keterikatan hati dan jiwa satu sama lain dengan ikatan akidah yakni Islam. Ukhuwah bukanlah sesuatu yang boleh diada-adakan mahupun sesuatu yang boleh diwarisi tanpa memenuhi syarat-syaratnya yang tertentu. Hal ini kerana ukhuwah merupakan roh yang dihidupkan Allah dalam hati orang-orang beriman apabila Dia mengkehendaki agar mereka dekat dan bersatu. Ibn Abbas ra berkata bahawa kerabat rahim dapat diputus, dan budi dapat diingkari, tetapi jika Allah mempersatukan hati maka tidak dapat digoncangkan oleh apapun, kemudian ia membacakan maksud firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 63 seperti berikut; “…walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat menyatukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Mahabijaksana” Menurut Hasan al-Banna lagi, terdapat 3 rukun ukhuwah iaitu ta’aruf, tafahum dan ta’awun. Ta’aruf bermaksud berkenal-kenalan bak kata orang kita, tak kenal maka tak cinta. Tafahum pula bermakna saling faham-memahami. Dalam erti kata lain, seorang mukmin mestilah memahami saudaranya yang lain. Abu Hurairah dari Nabi saw pernah bersabda yang berbunyi, ‘Barangsiapa menghilangkan kesusahan seorang Muslim, niscaya Allah akan menghilangkan satu kesusahannya di hari kiamat. Allah selalu menolong seorang hamba selama dia menolong saudaranya. ’. Terakhir, ta’awun bermakna saling bantu membantu. Namun begitu, bantu membantu ini hanya terhad dalam hal kebaikan dan dalam usaha meninggalkan kemungkaran. Secara jelas, ukhuwah merupakan ikatan hati sesama orang mukmin yang diikat atas dasar akidah tauhid yang satu. Maka, ukhuwah Islamiyyah merupakan sifat yang mengiringi keimanan. Sebaliknya, ukhuwah yang dibina tanpa dasar keimanan hanya merupakan pertemuan dua pihak kerana kepentingan tertentu, saling bertukar budi serta hubungan yang dijalin tidak berkekalan. Dipetik drp: http://kelab-iqra.blogspot.co.at/2009/07/sejurus-rejab-berlalu-kini-syaaban-pula.html

No comments:

Post a Comment