InsyaAllah,,
Al-Qur'an telah dijaga dizaman Rasulullah s.a.w dengan ditulis di pelepah-pelepah kurma, kulit-kulit kayu dan sebagainya. Di zaman Saidina Abu Bakar r.a ianya dikumpulkan di dalam satu mushaf. Di zaman Saidina Uthman, ia dikumpulkan di dalam beberapa mushaf dan dibahagi-bahagikan ke beberapa kawasan. Di zaman kita Al-Qur'an telah dicetak di dalam banyak mushaf sehingga tersebar luas dan mudah untuk kita mendapatinya.
Namun, penjagaan yang paling istimewa dan paling terpelihara ialah ia dihafal oleh Rasulullah s.a.w dan hafalan itu telah disemak ketepatannya oleh malaikat Jibril, kemudian dihafal pula oleh para sahabat r.a dan Rasulullah s.a.w pula yang menyemak ketepatan hafalan mereka. Kemudian dihafalkan pula generasi berikutnya dan disemak oleh generasi sebelumnya.
Sejarah telah membuktikan bagaimana mereka yang tidak faham bahasa Arab juga dapat menghafal Al-Qur’an dengan baik. Yang sudah dewasa juga mampu untuk menghafal Al-Qur’an.Bak kata pepatah: jika hendak, seribu daya. Tidak ada dalam Islam istilah terlalu tua untuk menuntut ilmu, apatah lagi menuntut ilmu Al-Qur’an dengan menghafalnya.
Mereka yang menghafal dan mempelajari Al-Qur’an adalah orang-orang yang dipilih oleh Allah s.w.t.
Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadithnya: Ertinya: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarkannya." Sebaliknya orang yang tidak membaca Al-Qur'an apatah lagi menghafalnya adalah seperti rumah yang hancur roboh. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
Ertinya: "Sesungguhnya orang yang tiada di dalam hatinya sedikit pun dari Al-Qur'an adalah seperti rumah yang hancur roboh."
Antara fadhilat-fadhilat membaca Al-Qur’an ialah:
1) seseorang akan lebih terang hatinya dan lebih tenteram kehidupannya.
2)Al-Qur’an adalah pengubat bagi orang-orang yang beriman.
3) Ia juga akan menerangi kubur kita kelak.
4)Ia juga akan memberi syafaat kepada kita di hari Kiamat.
4)Orang yang membaca Al-Qur’an juga akan dijaga oleh Allah dari penyakit- penyakit yang hina apabila tua kelak.
Dalam satu riwayat, Saidina Ali r.a pernah berkata bahawa orang yang sentiasa membaca Al-Qur’an tidak akan ditimpa dengan penyakit nyanyuk atau dipandang hina apabila tua kelak.
Begitu besar fadhilat menghafal Al-Qur’an sehingga ramai umat Islam berkejaran untuk memastikan anak-anak mereka bukan sahaja tahu membaca Al-Qur’an malah menghafalnya juga, kerana anak yang soleh akan mendoakan ibu bapanya apabila mereka mati kelak, kerana anak yang menghafal Al-Qur’an akan dapat menyelamatkan ibu-bapanya dari siksaan api neraka.
"Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk kepada lurus perjalannya. Dan ia memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa untuk mereka ganjaran yang besar." (Al-Isra’, 9)
sumber: http://irwanirah.multiply.com/
via http://cikteddycorner.blogspot.co.at/2011/04/baca-al-quran-elak-nyanyukinsyaallah.html
No comments:
Post a Comment